Jumaat, 15 Oktober 2021 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mulai menerima kemasukan 6,000 pelajar bagi semester 1, sesi 2021/2022 secara fizikal di kedua-dua kampus. kemasukan untuk fasa 1 ini bermula 15 hingga 18 Oktober, 856 pelajar dari Kampus Johor Bahru dan 92 orang pelajar dari kampus Kuala Lumpur dijangka masuk secara fizikal dan mendaftar di kolej kediaman masing-masing. Kemasukan semula pelajar ke kampus akan dilakukan secara beberapa fasa dengan syarat telah lengkap 2 dos vaksinasi dan telah mendapatkan kelulusan dari universiti dan dari kumpulan pelajar yang berkeperluan.
Sebelum mendaftar di kolej kediaman masing-masing, pelajar perlu menunjukkan surat kelulusan dan menjalani prosedur saringan kesihatan iaitu pemeriksaan suhu badan, imbasan MySejahtera dan imbasan QR Code Masuk Kampus. Pelajar juga perlu menjalani ujian saringan kendiri RTK-Antigen Saliva secara pandu lalu di Rumah Alumni di Kampus Johor Bahru atau Astaka KSJ di kampus UTM Kuala Lumpur dan seterusnya akan disahkan oleh pegawai perubatan Pusat Kesihatan UTM terlebih dahulu.